3G ialah singkatan untuk Third-Generation atau Generasi Ketiga teknologi telefon bimbit. Teknologi 3G secara ringkasnya adalah satu sistem yang membolehkan pengguna berkomunikasi secara video dari telefon bimbit ke komputer riba. Selain itu pengguna juga boleh memuat turun lagu dan video dengan kadar sepuluh kali ganda lebih pantas berbanding teknologi 2G.
3G juga adalah teknologi rangkaian telekomunikasi tanpa wayar yang membolehkan video, audio dan data dihantar lebih cepat menerusi satu rangkaian jalur lebar tanpa wayar berbanding teknologi sedia ada.
Teknologi yang semakin popular ini juga memberi perkhidmatan tanpa batasan seperti tayangan televisyen, pertunjukan multimedia, sidang video langsung, pelayaran laman web, emel, pesanan segera (instant messaging), sebagai mesin faksimili dan petunjuk peta. Telefon 3G lebih nipis, kecil dan menarik yang dilengkapi kamera dan video berkembar kini dilengkapi alat pejabat kecil yang membenarkan pengguna menyambungkan secara langsung dengan e-mel mereka.
3G bersandarkan keluarga piawaian Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di bawah rancangan Telekomunikasi Bimbit Antarabangsa (IMT-2000). Teknologi-teknologi 3G membolehkan para operator rangkaian menawarkan lebih banyak perkhidmatan lanjutan serta mencapai keupayaan rangkaian yang lebih unggul melalui kecekapan spektrum yang diperbaiki. Perkhidmatan-perkhidmatan tersebut termasuk telefon suara wayarles kawasan luas dan data wayarles jalur lebar, di mana pengguna dapat menikmati teknologi seperti melihat oarang yang dihubungi dalam jarak jauh hanya melalui satu panggilan telefon.
Berbeza dengan rangkaian-rangkaian IEEE 802.11, rangkaian-rangkaian 3G merupakan "rangkaian telefon bimbit kawasan luas" yang berkembang untuk merangkumi capaian internet kelajuan tinggi dan telefon video iaitu pengguna dapat melayari internet hanya dari telefon bimbit mereka dan menghubungi orang lain bukan sekadar dari suara tetapi juga dapat melihat mereka yang dihubungi. Rangkaian-rangkaian IEEE 802.11 merupakan rangkaian julat dekat dan lebar jalur tinggi yang dibangunkan, terutamanya untuk data.
Menurut Persatuan Pembekal Telefon Bimbit Sejagat, 100 buah rangkaian 3G telah beroperasi di 40 buah negara, menjelang akhir tahun 2005. Jepun adalah negara pertama yang memperkenalkan sistem 3G, kerana selera meluas rakyatnya terhadap telefon digital berteknologi tinggi. Di Asia, Eropah, Kanada dan Amerika Syarikat, syarikat-syarikat telekomunikasi menggunakan teknologi W-CDMA dengan sokongan daripada sekitar 100 buah reka bentuk terminal untuk mengendalikan rangkaian-rangkaian bimbit 3G.
Di Malaysia, syarikat Ericsson Malaysia, merupakan syarikat yang pertama membawa konsep 3G ini. Demonstrasi 3G tersebut dilakukan pada tahun 1998 menunjukkan pelbagai fungsi 3G, dan van 3G digunakan sebagai langkah untuk mempromosikan teknologi ini.
Piawai 3G
Teknologi 3G sepatutnya merupakan satu piawaian dunia, tetapi kini telah berpecah kepada tiga.
UMTS (W-CDMA)
UMTS ( Universal Mobile Telephone System ) atau Sistem Telefon Bimbit Universal berasal daripada teknologi W- CDMA dan merupakan jawapan kepada negara yang lebih menggunakan GSM. Sistem ini berpusat di Eropah. UMTS diurus oleh 3GPP, organisasi yang turut menguruskan GSM, GPRS, dan EDGE.
CDMA2000
CDMA2000 adalah lanjutan kepada 2G CDMA standard IS-95. CDMA2000 berfungsi di luar zon GSM di Amerika Syarikat, Jepun dan Korea. CDMA2000 diuruskan oleh 3GPP2, satu syarikat berasingan dengan 3GPP.
TD-SCDMA
TD-SCDMA ialah standard 3G terbaru yang dibangunkan dengan kerjasama Siemens bersama syarikat China, Datung. Kedua-dua syarikat melancarkan sistem ini pada tahun 2005.
3G dan spekulasi teknologi
Lesen 3G dan spektrum radio dilelong di Eropah pada 1990an. Untuk teknologi baru ini, syarikat syarikat telekomunikasi Eropah membelanjakan lebih €109 bilion untuk lesen, dan lebih kurang €200 bilion lagi untuk peralatan dan pemasaran.
Apabila teknologi 3G gagal mendapatkan keuntungan, pelabur-pelabur dibebani dengan lesen yang tidak berharga dan hutang yang berlambak. Banyak syarikat menganggap 3G sebagai satu kegagalan, dan sesetengah cuba berbincang dengan kerajaan berkenaan perlesenan tersebut.
Senarai negara yang menggunakan 3G
W-CDMA | CDMA2000 1x |
Australia | Argentina |
Austria | Azerbaijan |
Denmark | Belarus |
Jerman | Bermuda |
Greece | Brazil |
Hong Kong | Kanada |
Israel | Chile |
Itali | China |
Jepun | Colombia |
Belanda | Republik Dominican (DominicanRepublic) |
Slovenia | Ecuador |
Sweden | Georgia |
Sepanyol | Guatemala |
Emeriah Arab Bersatu (UAE) | India |
United Kingdom | Indonesia |
Amerika Syarikat | Jamaika |
Perancis | Jepun |
Malaysia | Kazakhstan |
Republik Czech | Kyrgyzstan |
Estonia | Mexico |
Croatia | Moldova |
Belgium | New Zealand |
Finland | Nicaragua |
Ireland | Pakistan |
Isle of Man | Panama |
Luxembourg | Peru |
Monaco | Poland |
Portugal | Romania |
Singapura | Russia |
| Korea Selatan |
| Taiwan |
| Thailand |
| Amerika Syarikat |
| Uzbekistan |
| Venezuela |
| Vietnam |